Penentangan pentadbiran British Ngah Ibrahim

Untuk mendapatkan hasil bagi mentadbir negeri Perak, Birch mengenakan cukai ke atas perlombongan dan perniagaan bijih di Larut. Antara lain, kuasa Ngah Ibrahim memungut hasil dan cukai di Larut disekat. Sebaliknya, pungutan cukai dibuat oleh Residen British.

Keadaan ini menimbulkan marah Ngah Ibrahim kerana beliau beranggapan ia perlanggaran apa yang dipersetujui di Pangkor yang mana dia berkuasa atas jajahan Larut seperti sebelum campur tangan British. Tetapi Kapten Speedy lebih taat kepada pihak British dan menguatkuasakan apa yang diperintahkan oleh Residen, termasuk pungutan cukai. Ngah Ibrahim terpaksa akur dengan pengutipan cukai ini kerana Kapten Speedy juga berkuasa ke atas polis bersenjata (yang asalnya diwujudkan oleh Ngah Ibrahim, tetapi digantikan oleh Kapten Speedy dengan polis Sepoi dari Punjab yang hanya taat kepada Kapten Speedy dan bukannya kepada Ngah Ibrahim).

Perasaan marah Ngah Ibrahim atas pengenaan cukai oleh Residen British mendorong beliau memberikan sokongan kepada kumpulan pembesar Melayu yang hendak menentang pentadbiran British di Perak. Ngah Ibrahim disokong oleh Laksamana Mohamad Amin, bapa mentuanya. Pengikisan kuasa ini dilihat sebagai penghapusan martabat pembesar (dan Sultan) Melayu di tanah air mereka sendiri.